Renungan...

Renung fikiranmu, ia menjadi kata-kata;
Renung kata-katamu, ia menjadi perbuatan;
Renung perbuatanmu, ia menjadi amalan;
Renung amalanmu, ia adalah sifat dirimu.

Khamis, 3 Disember 2015

SUNGAI PADAS

Jauh mataku perhati
Seakan tidak berhenti
Pada aliran sungai ini
Padas tidak sunyi
Riuh dan menghempas buas pada batuan
Tiada belas kasihan
Batuan sungai ini seakan berteriakan
Menyapa diam heningku keseorangan


Biarlah dingin hembusan angin dari hulu
Penghuni di sepanjang sungai ini masih berkabus impian seribu
Damai hati mereka tidak meminta pelangi mimpi
Sudah biasa diri:sebati dengan tebingan ini
Biar membadai musibah Padas sepanjang tahun melanda
Biar menyusup perlahan menenggelamkan laman jiwa
Tidak patah jiwa mereka
Tetap setia mengukuh belit akar realiti setiakawan
Anugerah ini adalah hadiah daripada susur galur pokok kehidupan
Riwayat salasilah yang terdahulu perlu dipertahankan

Jangan kaulupa anak-anak generasi kini
Sungai ini adalah nadi si Tok Aki
Padas inilah yang memberi rezeki
Apakah megah empanganmu menabur bakti pada pribumi?
Tetapi,menyapa mesrakah ia pada penghuni dan alam ini?
Bila penghuninya masih rindukan arus pemodenan
dan musibah tahunan ini seakan mempersendakan alam keindahan
penghuninya masih tercunggap nafas dek ketakutan
Sungai Padas ini sekali sekala melontarkan amaran
Loceng digenggam sudah kebiasaan asam garam kehidupan

Pena Sepi@Aki Manang Remaung
Tenom, Sabah
08112015….9.54 am

Tiada ulasan: