Renungan...

Renung fikiranmu, ia menjadi kata-kata;
Renung kata-katamu, ia menjadi perbuatan;
Renung perbuatanmu, ia menjadi amalan;
Renung amalanmu, ia adalah sifat dirimu.

Rabu, 2 Disember 2015

AMUKAN ALAM



Jauh bermula perjalanannya
Di bawah kaki gunung yang meraung
Sungai tenang pada awalnya girang
Mengalir amukan lumpur menyapa tebingan
Amarahnya tidak tentu arah
Seakan muntahan dan ludahan gergasi
Sisa-sisa tidak hadam makanannya
Berombak teriak menghempas keras laluannya
Lumat hancur pokok-pokok dan tumbuhan
Dipintal pejal meratah mentah
Digergaji menjadi potongan dan sampah kepingan
Tenggelam timbul melambai amaran

Amukan melaga-lagakan batuan yang bergolekan
Menerajang tendang tidak tenang
Ranaplah teratak ditelan badai kumbahan alam
Geloranya berkuasa hari ini
Merampas kebas kuasa manusia
Buktikan alam itu jagoan
Buktikan semua alam ciptaan-Nya
Tersentak seketika manusia berbicara tentang dunia
Bahawa alam kita tinggal mulai bosan
Perlahan-lahan tinggalkan persahabatan setiakawan
Pangkalnya pada akal membongkar sedar
Selagi amukan alam setakat melambai sapa kehidupan insan

Pena Sepi@Aki Manang Remaung
Beluran, Sabah
18062015
09.45 am

Tiada ulasan: