Renungan...

Renung fikiranmu, ia menjadi kata-kata;
Renung kata-katamu, ia menjadi perbuatan;
Renung perbuatanmu, ia menjadi amalan;
Renung amalanmu, ia adalah sifat dirimu.

Rabu, 2 Disember 2015

LAMBAIAN PERSARAAN (Buat Guru Besar SK Ulu Muanad, Beluran.. En.Sharif Basa Sharif Bakir )


Pagi ini...
Diarak meriah seorang pemimpin yang disegani
Menyusul jalan dengan lambaian tangan penghuninya
Bagaikan sinar yang berkilau menyuluh terang
Memancar jenuh dihati meneladani peribadi diri
Hadirmu menghidupkan jiwa-jiwa insan
Mereka kenal erti dewasa dan erti jadi manusia
Hadirmu mencurah ilmu yang tidak terhingga nilainya
Satu persatu kejayaan dapat digapai bersama pimpinanmu

Pagi ini...
Lambaian terakhir persaraan diingat menjadi keramat
Disusuli bunyian pukulan kompang yang berdendang riang
Riang di wajah anak-anak kecil ini perhati
Belum tahu riwayat, perjalanan dan langkah kakimu di sini
Tertumpahlah airmata nanti disaat kau tiada
Dikenang jasa dan pengorbananmu yang tak terbilang
Kaulah abang disaat kami bergelumang hilang pandang
Kaulah ayah tempat mengadu sendu pilu membuku

Pagi ini...
Berkumandanglah lagu rasmi menghormati khidmat terakhir
Hanya sedekah doa buat titipan bekalan baki-baki hayat mendatang
Senjamu sudah berlabuh bersauh kukuh pada akar hati kami
Pastinya kehilangan senja ini menyilang mentari esok pagi
Lambaian senja ini pasti sepi dan tidak sama lagi nanti
Kehilangan insan mengisah sejarah terindah perkhidmatannya
Persaraan diraikan;kepimpinan diingati dan semoga diberkati ilahi

(Jasa dan nama dibawa kemana-mana, gelaran ditinggalkan mengingatkan teladan kebaikan insan,lambaian persaraan ingatan kenangan zaman-berzaman)

Pena Sepi@Aki Manang Remaung
Beluran, Sabah
13072015
5.00 pm

Tiada ulasan: