Renungan...

Renung fikiranmu, ia menjadi kata-kata;
Renung kata-katamu, ia menjadi perbuatan;
Renung perbuatanmu, ia menjadi amalan;
Renung amalanmu, ia adalah sifat dirimu.

Rabu, 2 Disember 2015

JANGAN SESEKALI



Jangan sesekali menghakimi manusia pada tajam pandangan pertama tafsiran minda
Sempurna-layakkah diri?
Saratkah kantung bekalan iman di dada?
Menganggap yakin pasti umpama sempurnanya malaikat
Tajam menikam bacul mulut seakan pedang
Bebelan katanya tidak henti memaki menyerabut kusut kepala
Saratnya berbaur sumpah seranah pada lidahnya melekat berbutir kudis busuk tegar liar

Jangan sesekali mudah mengata dusta durjana
Bohongan liar menular keluar menujah sergah hati insan
Tiada henti diamnya selagi hati tidak memulas-rimas puas
Tidak putus diamnya menginjak-himpitkan kehidupan insan diperhambakan leteran
Cercaan dan hinaan jadi lauk santapan bekalan harian

Buatlah urusan sendiri tidak rugi kalau berdiam diri dan bukannya mencaci berani buta tuli
Ingatlah kita hidup bukan sendiri tetapi berkongsi bumi
Ingatlah hutang iman belum selesai perlu dilangsai
Ingatlah Tuhan perhatikan segenap hari memberi peluang dan ruang
Ingatlah mati itu pasti mengetuk-tukul ajal bertandang tanpa diundang

Nah...sendiri mahu ingat cacatnya menjerat loghat keramat
Jangan dihambur-hibur-dendang mulut yang bercabang
Jangan sesekali menghakimi memerhati untung kantung rugi peribadi duniawi
Tuhan pasti mengira tapak hati yang belum dicuci mengingatkan kembali kalimat amanat
Yang pastinya tiada siapa yang sempurna;kita pernah berdosa,alpa, durhaka,haloba dan pastinya tidak sempurna
Tidak sempurna dan semua kita akan dihakimi,diuji dan akhirnya akan kembali kepada Pencipta yang sebenarnya mulia

Pena Sepi@Aki Manang Remaung
Beluran, Sabah
22072015
10.00 pm

Tiada ulasan: