Renungan...

Renung fikiranmu, ia menjadi kata-kata;
Renung kata-katamu, ia menjadi perbuatan;
Renung perbuatanmu, ia menjadi amalan;
Renung amalanmu, ia adalah sifat dirimu.

Rabu, 2 Disember 2015

POTRET HIDUPMU PADA GARISAN LANDASAN



Di sepanjang garisan landasan ini
Ada kisah kucoret pada lakaran potret diari
Anak kecil; insan ini sudah sebati hidupnya
Leluhur generasinya meniti arus usia
Matang dalam kehidupan ; penyambung legasi kebal tegal bertahan
Dibawa arus lumrah kebiasaan

Tepat kuperhati anak kecil ini menyanyi
Riang pada terminal sepi menanti penghuni
Selamilah jiwanya
Pandangkah pada anak mata
Kini kita tahu beza antara dua dunia
Pada bukit dan banjaran sempadan yang terpisah
Jauh tersembunyi perlu kita bongkar selongkar
Dan anak kecil ini bukan liar
Bermain pada dunia realiti antara sedar
Kita tak endah
Buta mata aku dan kamu tidak kisah

Pada tempat inilah Saliwangan melambai damai
Tenang tanpa endahkan apa-apa yang membadai
Padas yang mengalir memintal buih-buih pusaran
Menghidangkan garang alam
Menyaji teruja hati seakan mengerti
Kita hargai suasana ini
Sepakat mengangkat erti sahabat
Halogilat merapat ingat persinggahan terhebat

Jangan lupa pada SK Biah ini
Anak kecil ini seakan bermimpi
Kunjungan sahabat mesra diingati
Sekali lagi bersalam menghulur tangan diri
Bersahabatlah kita wahai anak kecil ini
Pada anak matamu tergambar sepi
Akan terbongkarkah jerih rintih hidupmu nanti
Generasi pada landasan ini silih berganti
Meninggalkan tanda-tanda ingatan kenangan
Bersama secubit harapan impian
Pastinya ada menanti di hadapan

Sabarlah sahabat kecilku; cekallah aku pesan
Keringat moyangmu di sepanjang landasan ini
Pasti terganti juga nanti
Pada saat itu landasan ini menyanyi
Rentak yang berhentak membawa gerabak kejayaan itu kembali
Kau pulang dengan bangga diri

Pena Sepi@Aki Manang Remaung
Tenom, Sabah
07112015...15.22pm

Tiada ulasan: