Renungan...

Renung fikiranmu, ia menjadi kata-kata;
Renung kata-katamu, ia menjadi perbuatan;
Renung perbuatanmu, ia menjadi amalan;
Renung amalanmu, ia adalah sifat dirimu.

Khamis, 3 Disember 2015

GEGARAN KINABALU



Damai hening pagi ini
Lena mimpiku dikejutkan
Indah menjadi sedar gelisah
Disergah bangunku dengan gegar yang mendebar
Hilang imbangan melangkah cemas gundah

Damaimu pagi ini telah hilang
Menyilang dingin menjadi bimbang
Kedengaran hantukkan batuan di pergunungan
Runtuh melumpuh jalanan pendakian
Damai yang bertukar tragis dengan darah yang menitis
Hamparan dinding gunung yang mengerikan
Susunan deretan badan yang berpelukan
Damaimu pagi ini telah hilang
Kau debarkan hati pengunjung yang datang
Daripada riang menjadi bimbang
Damai pada awalnya bertukar menjadi  sebuah mimpi ngeri

Gegaran menampar jasad yang sudah tiada
Sekelip mata mengubah pentas drama
Bertempiaran berlari ketakutan
Anak-anak muda ini jadi mangsa
Malim gunung menjadi bumbung perkasa
Pertaruhkan nyawa: kau adalah wira yang mulia

Panorama indahmu telah berubah
Menjadi kubu bongkah seakan batu nisan peringatan
Meruntun jiwa pendaki dan malim gunung yang terselamat
Hati mereka masih terjerat
berhadapan dengan gegaran susulan yang masih marah
Gegaran bagai bom tangan menanti detik meledak parah
Gegaran ini mendebarkan
Gegaran ini yang menakutkan
Gegaran ini menyedarkan kita dengan amukan alam
Gegaran Kinabalu ini masih lagi menunggu waktu
Sedarnya kita sendiri pun tidak tahu


Pena Sepi@Aki Manang Remaung
Kota Kinabalu, Sabah
05062015…..7.14pm

Tiada ulasan: