Renungan...

Renung fikiranmu, ia menjadi kata-kata;
Renung kata-katamu, ia menjadi perbuatan;
Renung perbuatanmu, ia menjadi amalan;
Renung amalanmu, ia adalah sifat dirimu.

Rabu, 9 Disember 2015

HENING 15 ( SEPURNAMA DIAM )

Pening
runsing runding
tercari-cari menanti kelibat pari-pari mimpi
singgah madahnya
singgah sapaannya
buat penglipurlara jiwa
belantara hati gembira

Diam
berdendam malam
terbayang siang
mencari cahaya jelmanya
purnama melirik senyum semula
melakar disebalik sunyi gelap alam
wajah kembali riang
awan malam ceria

Ternyata
sepurnama terhampar derita
tidak menari pelangi senja
garisannya mulai luntur pudar
berarak sesak mendung; menenggelamkan ingatan
hujan lebat bercucuran membasahi pipi gunung
menuruni lembah sehingga ke kaki langit
pungguk malam kembali diam
menghampar lagu tanpa suara
hanya kolam hati terasa kering mati

Rela
menanti subuh sehingga mentari kembali
menunggu kicauan burung menyanyi
menyinggah lagu merdu rindu
cuba mendengar sahutan unggas di rimba
Apakah hari ini khabar angin menyapa mesra belantara duka?
agar tidak gundah gelojak hati pelangi
disebalik kesamaran hening alam
jangan sampai empangan di hulu sungai
melimpah resah mengalir racun cuka
sungai masam kemarau nanti kehidupan
gara-gara merajuknya alam jiwa


Pena Sepi@Aki Manang Remaung
Kota Knabalu, Sabah
10122015....2.00 pm

Tiada ulasan: