Renungan...

Renung fikiranmu, ia menjadi kata-kata;
Renung kata-katamu, ia menjadi perbuatan;
Renung perbuatanmu, ia menjadi amalan;
Renung amalanmu, ia adalah sifat dirimu.

Rabu, 2 Disember 2015

RINTIHAN DARI SANGKAR DAGANG



Kedengaran nafas-nafas;sesak sangat sebak
Merintih jerih memaku hati merantai akal
Dalam kuboid kontena dagang padu dimampat
Hanyir mengusir selera ceria tawanya bercuka
Terperuk menjeruk zahir mengalir peluh lusuh
Ketakutan diancam bisu bibirnya berjahit perit
Diikat ketat dirantai kurung meraung batin
Ada apa pada nilai nyawa manusia?
Rakus menimbus sifat menyiat mulia insan
Dieksport bagai barang dagang berlian
Dilacur;dikerah serah badan
Dibunuh;dibedahsiat organ dalaman nilainya jutaan
Dipaksa;buruh murah untungnya berlimpah
(Ada tanda nama dan harga)

Lorong hitam itu tempat melampias nafsu hantu pelanggan
Lorong hitam itu juga jiwa remajanya dinoda
Asalnya dari sangkar kurungan haiwan jelmaan
Asalnya dari;penculikan, penipuan dan transit penjualan
Asalnya dari sangkar besi memati hati meranap impian angan
Tiada harapan melelapkan empuknya tilam kehidupan berbantalkan kebebasan

Bisakah ratapan tangisan dihentikan?
Bisakah zaman kanak-kanaknya dikembalikan?
Bisakah isu pemerdagangan manusia ini ditamatkan?
Selagi penghuni dunia itu sendiri masih menginginkan
Menghidupkan kota neon menyapa malam penuh kepuasan
Menghidupkan nyawa-nyawa yang berharta menyambung siri nafas kedua
Selagi manusia jelmaan syaitan belum ditewaskan oleh senjata pedoman iman Tuhan

Pena Sepi@Aki Manang Remaung
Beluran, Sabah
19062015
10.06 am

Tiada ulasan: