Renungan...

Renung fikiranmu, ia menjadi kata-kata;
Renung kata-katamu, ia menjadi perbuatan;
Renung perbuatanmu, ia menjadi amalan;
Renung amalanmu, ia adalah sifat dirimu.

Sabtu, 26 Disember 2015

PERMATA YANG HIL;ANG



Bersinar terang
berkilau
sungguh berharga
jarang kaujumpa
jarang ditemui; susah kaucari
ianya bernilai tinggi
memahat iman di hati
itulah hidayah Ilahi


Kalau sudah jumpa
Permata yang kausuka
Simpanlah teguh
jangan hilang
ditatang sayang
bukan semua orang ada
punya permata
umpama nyawa
mengikat simpulan di jiwa
orang yang kaucinta
itulah hadiah daripada Yang Esa

Kaugilaplah kilauan berlian
intan inilah warisan zaman
kauperlu wariskan
permata menjadi seorang anak
permata menjadi seorang cucu
permata yang indah
hebat disisi Allah

Kau harus pertahankan juga
misteri lagendanya
gah keperkasaan ranjangnya dijulang
mempertahankan permata yang ada
mengikat sebenar erti cinta dan setia
ilmu sepanjang hayat
menongkat keramat kudrat
permata yang hilang
telah kembali pulang ke gagang
menyubur leluhur amanat moyang

Pena Sepi@Aki Manang Remaung
Kota Kinabalu, Sabah
27122015…11.34 am

AYAM BERKOKOK


Pagi petang
kauberkokok
tidak lagi bersorok-sorok
memekak teriak
melantak pekak
memacak paku di otak
kau masih ulang
kautemberang

Kokokanmu sumbang
bertengek jengkel pada rapuhnya batang
tidak kira jantan atau betina
tingkahmu seakan paksa
gelagat yang membuat orang naik meluat
terkepak-kepak dengan mata yang ligat
kau masih bising
kau masih melenting

Pagi petang
perangai masih sama
tidak hormat manusia
membangun amarah
membuat orang naik darah
ada telur riuh sekampung
macamlah telurmu nanti menjadi emas segunung
ada ancaman bahaya ; cepat-cepat menjadi wartawan
mengheboh khabar tanpa fikirkan
kokokanmu cuma lantang
tapi sayang
penghuni disekelilingmu tidak rasa senang


Pena Sepi@Aki Manang Remaung
Kota Kinabalu, Sabah
27122015……11.59 am

Jumaat, 18 Disember 2015

W A J A H


Rahsia
Topengan kulit
Memintal misteri- sulit
Pendam-diam; suram
Ceria-gembira; tenteram-tenang
Petualang-pendusta
Kebenaran- pada hakikinya dipercayai
Kompleks ramal

Janganlah
Berbedak-sapukan kepalsuan
Disapu-losyenkan tonik derhaka
Pada kantanya pula kepura-puraan
Tebal bibirnya kebohongan
Sememangnya songsang jangka
Mengusir perahu suka

Junjunglah
Biar hitam putih kulit aslimu
Jangan berperisaikan bongkak diri
Agar indah sebenar pada wajah makhlukNya
Berteraskan panji dalaman- iman
Luarannya rumah hijab- mulia
Berjendelakan kejujuran
Berpintukan keikhlasan
Bertiangkan pegangan agama
Hiasannya pula taman bunga – kuntuman senyuman

Pena Sepi@Aki Manang Remaung
Kota Kinabalu, Sabah
18122015…12.16 tengah malam

Khamis, 17 Disember 2015

B E R T E D U H

Rendang menjemput tenang
damai pepohon ini
menyapa hati-mengerti

Rimbun
lebat daun-daun
meneduh-jenuh
membuang fantasi –mimpi

Pepohon ini-sahabatku
berlabuh teduh jiwa
mengingati ketentuan-kesyukuran Ilahi


Pena Sepi@Aki Manang Remaung
Kota Kinabalu, Sabah
17122015…10.14pm

Rabu, 16 Disember 2015

D A J J A L



Semakin hampir
Ia datang seperti petir
Khabarkan
Sahabat syaitan
Fitnah – hasut
Jangan jadi pengikut- Pak turut
Memecah belah
Iman jadi goyah

Mengaku Nabi
Mengaku Tuhan
Jangan disesatkan
Jangan terpedaya
Jangan munafik
Dengan kuasa haloba

Kuatkan iman
Cuba hindarkan
kerana
Petanda semakin kelihatan
Pelbagai penampakan
Fenomena dunia
Umat bumi semakin menderita
Ingat Tuhan
Hanya padaNya kita diselamatkan


Pena Sepi@Aki Manang Remaung
Kota Kinabalu, Sabah
16122015….5.18pm

CINTA TAK SEKUFU



Sekufu
cuba cari sebulu
memilih darjat dan pangkat
membanding keturunan
membeza-bezakan kabilah
Janganlah ditolak mentah
Biar berakhlak mulia
Biar beragama

Jangan pula kata;
`pipit sama pipit, enggang sama enggang’
Jiwa pasangan ini tidak tenang
cinta mereka terlarang 

Jangan ungkap ;
`ukurlah baju di badan sendiri’
Bongkak diri-tinggi diri
 cinta mereka mati

Janganlah;
Pandang kekayaan,kebangsawanan, kejutawanan dan kehartawanan
Jangan dijurangkan taraf manusia
Bahagiakah jiwa?
Kalau hati tidak tenang
cinta mereka hilang

Biar cukup syarat
Pada sudut fiqh dan akhlak
Ingat kata-kata;
`berdiri sama  tinggi, duduk sama rendah’
terima segala kekurangan dan seadanya
Yang penting reda disi seluruh wali
Perkahwinan nanti diberkati

Ingatlah
Gerbang perkahwinan
Ia adalah gagasan yang diimpikan
Impian
perlu pandangan jauh
Membawa amanah
Halal di sisi Tuhan

Pena Sepi@Aki Manang Remaung
Kota Kinabalu, Sabah
16122015…4.24 pm

Selasa, 15 Disember 2015

DAHSYAT HARUMANMU MELOR


Janganlah harum gundahmu sampai
Cuba menggapai belai
Aku tidak inginkan
Biarlah di lautan ia padam
Penghuni di sini akan tenteram
Tidak terbias
Tidak kena tempias
Musnah
Parah

Cukuplah
Harum dahsyatmu membadai pantai
Bandar Legaspi, Wilayah Albay
Bandar Catarman
Wilayah Samar
Semenanjung Bicol
Pulau Romblon dan Pulau Mindoro
Kauduka gelisahkan

Hiportemia
Jasad kini meninggal badan
Harumanmu mendukacitakan
Tenggelam lemas dalam pelukan wangian
Kelopakmu melayang
Mematahkan rahang bangunan
Jiwa terbang

Bisa wangian
Membias tempias
Bisa haruman
Mencerca kuntuman
Melorku kini
menjemput mimpi ngeri
Menabur benih rimbun: mencambah racun

Pena Sepi@Aki Manang Remaung
Kota Kinabalu, Sabah
16122015…3.46 pm

PENYAKIT VIRAL

Mudah
percaya berita
cepat
kongsi sebar
berita belum pasti
khabar belum sah
sudah mengundang gelisah


Jangan bahalul
berkuahkan tahyul
jangan munafik
berbicara elergik
jangan fanatik
mengalahkan bunyi sejuta cengkerik
Krik…krik...krik...
hening bertukar bom jangka detik
sempit pernaakulan mantik-logik

Mudah
ekstremis
terkedek-kedek cetek- tidak optimis
berpandangan sinis
seolah-olah mengemis
perhatian
diri dipopularkan

Tidak bijak manfaat
alam maya jadi bahan debat
bukan Hang Jebat
tapi “Hangtu’maklumat tidak tepat
jiwa keparat minda berulat
nah!….sedarlah cepat
viral ini belum tentu tepat


Pena Sepi@Aki Manang Remaung
Kota Kinabalu, Sabah
16122015…..3.10 pm

A I B

Jangan intai – kesalahan
jangan intip – kekurangan
jangan jaga – tepi kain
jangan dedah – keburukan
jangan cari – kekhilafan
ada nas melarang
jangan dibuat ulang

Jangan intip cacat cerla
kita pun bukan sempurna
jangan cuba menuding jari
kita bukan hakim – bukan juri
janganlah aibkan seseorang
giliranmu akan mendatang
pusingan kitaran
tidak kelihatan 
kubur menjemput
baru tahu nanti nafas semput

Janganlah mengintip aib – maka dicucuklah kedua-dua mata
janganlah mendengar aib – maka dituangkan cairan timah pada kedua-dua telinga
janganlah mengutuk
hati teruk dijeruk
usah bongkak; lagak megah diri
aib sendiri belum pasti
sekali ia datang
baru tengadah bimbang - hidup jadi tunggang langgang
ingat mati- ingat Ilahi
muhasabah diri


Pena Sepi@Aki Remaung
Kota Kinabalu, Sabah
16122015….2.22 pm

R A S I S


Awas lidah nanti jadi musibah
Awas mulut nanti badan binasa
Awas; berhati-hati- ikut hati mati
Awas bicara jangan menghina
Jangan persendakan agama
Jangan diperkotak-katikkan sesuatu pegangan
Dan dihambur liar sumpah seranah
Menyampah darjat menjatuh kaum

Liar; malah tegar menghasut
Kasihan fikirannya serabut
Dengan karut marut
Akal kelas bawahan
Menjolok sarang tebuan – nanti menyengat tuan
Kesiankan ibubapa - mendakap habuan cacian
Kaugusarkan fikiran

Rasis fikiranmu
Kaubuntu ilmu
Wira yang berlegar di alam maya
Tapi sebenarnya pengemis buta akal dan jiwa
Bukalah minda
Rugi – jadi perosak bangsa dan agama
Tenangkan hati
Untung-  iman diberkati Ilahi


Pena Sepi@Aki Manang Remaung
Kota Kinabalu, Sabah
16122015…1.35 pm

B A H



Menyusup senyap
mengalir airmata awan
melarat
berduka semula
bermusim datangnya
rajuk

Ditukulnya  jiwa
dipahatnya runsing bimbang
penghuni alam gelisah akan musibah
tanaman semuanya musnah
ternakan  di kandang berhanyut sonsang
dibawa amarah arus
hilang daripada pandang

Wajahnya semakin pilu
berkabung
airmatanya bertakung
mengalir lagi dan datang lagi
menyimbah resah
harus lepas

Bah dan musibah
sekali lagi berdepan ujianNya
terima dengan reda
uji tabah
uji setia


Penas Sepi@Aki Manang Remaung
Kota Kinabalu, Sabah
16122015…10.30 am

Sabtu, 12 Disember 2015

J E L M A A N


Mencarik waktu; tunggu
Mengoyak ingatan; kenang
Menghampar khayalan: terbayang
Menjemput igau; angau
Mengundang resah; gelisah
Menggergaji hati; pendam sepi

Menjelmalah
Menjadilah apa-apa sahaja
Menjadi burung; hiburkan
Menjadi rembulan; menyuluh malam
Menjadi matahari; terangi siang
Menjadi angin; dinginkan jiwa
Menjadi hujan; basahkan hati
Menjadi ombak; membadai ingatan
Menjadilah; Jelmaan alam yang terindah

Menukul diam; sunyi
Memahat hening; kemaruk rindu
Mematah riang; gelojak jiwa cinta
Marilah datang; teduh bimbang
Menjelmalah; sekarang
Menjelma dan bertandang; hati tenang


Pena Sepi@Aki Manang Remaung
Kota Kinabalu, Sabah
12122015..1200 tengah malam