Renungan...

Renung fikiranmu, ia menjadi kata-kata;
Renung kata-katamu, ia menjadi perbuatan;
Renung perbuatanmu, ia menjadi amalan;
Renung amalanmu, ia adalah sifat dirimu.

Rabu, 2 Disember 2015

SANTUN BAHASA



Indah ritma berlilit kiasan kata
Tarikan intonasi sopan rentak bunyinya
Salam kata bersulam bunga seroja
Menguntum senyum pendengar teruja ria
Lapanglah dada menyegar mahkota jiwa   
Pasti terpateri hubungan sesama manusia 

Biar ditalun rimbun santap maksudnya
Biarkan bahasamu elok didengar perkataannya
Biarlah madah mencapah idea sejuta
Tetapi jagalah sopan santun kata-kata
Kerana bahasamu nanti melambangkan bangsa
Kerana bahasamu mencerminkan peribadi mulia

Janganlah pula megah meninggi bahasa
Jangan bacul-kesatkan mulutmu berbicara
Janganlah alpa pada dunia semata-mata
Janganlah disilang-buang penggunaan bahasa
Jangan dicampur adukkan bahasa luar biasa
Kelak hancur sejarah tamadun bangsa

Bersatulah menjulang martabatkan bahasa kita
Peliharalah juga bahasa ibunda tercinta
Sehati sejiwa mengekalkan Bahasa Malaysia
Peliharalah keindahan warisan puisi lamanya
Kerana disitulah tersimpan khazanah berharga
Selamanya kekal santun budinya ada

PenaSepi @Aki Manang Remaung
Kota Kinabalu, Sabah
28092015...08.45 pm

Tiada ulasan: