Renungan...

Renung fikiranmu, ia menjadi kata-kata;
Renung kata-katamu, ia menjadi perbuatan;
Renung perbuatanmu, ia menjadi amalan;
Renung amalanmu, ia adalah sifat dirimu.

Isnin, 8 Disember 2014

Raut wajah senja...

Pada wajah ada garisan kedutan ibu
Kudrat ayah tidak sama bagai dulu
Senja mula tenggelam bersama bayu
Kembalikanlah ke masa lalumu
Bila ibu menyisir kemas rambutmu
Bila ayah mendukung meniti ranjau sekolahmu

 
Beradulah selenanya dan anyamlah mimpimu semalam
Sementara ada kesempatan
Selagi  roda waktu berputar ligat
Bila tiba masanya matahari muram
Kolam airmata kering tanpa hujan
Tanpa sedari semuanya sudah terlambat

Dulu Ibu ayah jambatan dan titian
tuntun jalan pimpin kedewasaan
Sempurna hidup tempah kejayaan
Jangan lupa nasi suapan
Jangan lupa wang bekalan
Berkais rezeki keringat kekeringan

Kasih Ibu dulu kau puja
Kasih bapa dulu dewasakan jiwa
Kasih mereka mula kau lupa
Kau pandang biasa saja
Lupakah tanggang pada orang tua
Bila bongkak menggunung tak kenal rupa

Sengketa apa kau jauhkan mereka
Dosa apakah kau benci tak khabarkan berita
Pernahkah  tanya teratak hati jiwa
Adakala sepi kosong tanpa kita
Sanggup robohkan tiang asal keluarga
Dimana pernah kau peluk bila masalah tiba

Sayang Ibu sebelum ajal
Sayang ayah sebelum tinggalkan kita
Jangan dirimu maki dan janganlah kau dajal
Jangan kau adili jangan kau singkirkan mereka
Celakalah kamu orang muda
Bila kau derhaka bila kau alpa
Penuh kawah airmatamu pun tiada guna
Bila pejam mata gelap dunia
Batu nisan bisu tidak berkata apa-apa
Meruntun jiwa kembalinya tiada

Tiada ulasan: