Renungan...

Renung fikiranmu, ia menjadi kata-kata;
Renung kata-katamu, ia menjadi perbuatan;
Renung perbuatanmu, ia menjadi amalan;
Renung amalanmu, ia adalah sifat dirimu.

Isnin, 26 Januari 2015

UBAH SIKAP

Usah bangga
Usah bongkak
Usah taksub
Usah sombong
Bila dipersada puncak
Bila dakian berjaya
Bila tempuh satu perjalanan
Bila jeritan menggapai bintang
Adakah lolongan sekadar singgahan
Atau cukup untuk buktikan diri
Atau megah dek egoistik hati
Atau hangat kata yang bermusim
Hanya dirimu yang tahu
Hening bukan tiada omongnya
Hebat sekali bukan jagoan
Halatuju baru bermula

Siapkah dirimu dakian mendatang
Sempatkah muhasabah diri
Sampaikah puncak bintang nanti
Sempatkah strategi nanti menjadi
Ikrarnya setakat di halkum suara
Igauannya segunung harapan
Ilhamnya dalam tempurung
Idamkan gapai pelangi mimpi
Kawal mata hati nanti
Kala langkah kanan mula gerak
Kawah hati mula sedar
Kembarakan iman tunjangnya doa
Ayuh bangkit dirimu
Akur keupayaan dan berusaha
Angan kena buktikan
Agar kata selari usaha
Paterikan niat dengan kukuh
Persetankan kata sinis
Percaya kepada Tuhan
Pulang bawa kejayaan

Pena Sepi@Aki Manang Remaung
Beluran, Sabah
16012015
8.10 p.m

Tiada ulasan: